24 October 2009

Bajet Untuk Rakyat.

Bagi saya ini satu bajet yang menarik untuk rakyat ditengah kegawatan ekonomi dunia dan harap tahun depan ekonomi dunia kembali beransur pulih dan orang macam saya disektor swasta akan peroleh lebih banyak manfaat dari bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri kita.

Petikan dari utusan >>KUALA LUMPUR 23 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selama dua jam dengan lancar tanpa sebarang gangguan atau celahan daripada barisan pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang memakai baju Melayu berwarna biru muda memulakan ucapannya pada pukul 4.05 petang dengan membuat permohonan kepada Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2010) dibaca bagi kali kedua.
Sebelum itu, Najib masuk ke dalam Dewan kira-kira pukul 3.53 petang sambil disambut oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berbaju Melayu berwarna hijau muda.
Ketika mula-mula bangun membentang ucapan Bajet 2010 yang bertemakan '1Malaysia, Kemakmuran Bersama' setebal 55 muka surat, Najib diberikan tepukan meja paling bergemuruh oleh para penyokong kerajaan.

Beliau memulakan ucapan bajet itu yang bertujuan menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Ke-10 dengan menyatakan:
"Sesungguhnya bajet ini merupakan bajet sulung saya sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

"Bersempena itu, suka saya memulakan bajet pertama ini dengan membacakan firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf, ayat ke-32 yang bermaksud: Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhan mu wahai Muhammad?"
Pada masa sama, bertentangan dengan mereka di barisan pembangkang, Anwar yang berbaju Melayu berwarna hijau tua turut dilihat tekun mendengar ucapan itu dan sekali-sekala melontar senyuman.

Bajet yang dibentangkan melibatkan cadangan peruntukan RM191.5 bilion yang merupakan pengurangan 11.2 peratus berbanding peruntukan RM215.7 bilion ketika Bajet 2009.
Sepanjang menyampaikan ucapannya, Perdana Menteri diberikan tepukan meja lebih 50 kali oleh penyokong kerajaan apabila beliau mengumumkan langkah-langkah yang akan dilakukan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Tepukan juga diberikan apabila beliau bermadah:
"Berdasarkan semua yang dinyatakan tadi, moga beraraklah awan mendung dan sinar mula menampakkan wajahnya."

Najib juga diberikan tepukan apabila memberikan peringatan dengan nada tegas:
"Kepada pihak swasta dan syarikat milik kerajaan. Dalam kejayaan meraih keuntungan, hendaklah jangan dilupa kepada tanggungjawab sosial. Kembalilah berbudi kepada masyarakat."
Najib juga mendapat tepukan meja paling gemuruh daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak apabila mengumumkan kerajaan akan membina jalan luar bandar dan jalan kampung dengan peruntukan RM857 juta di Kapit, Lawas dan Simunjam di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.

Ketawa kecil di kalangan wakil rakyat juga kedengaran ketika beliau menyebut nama Kinabatangan kerana Ahli Parlimen di situ, Datuk Bung Moktar Radin adalah antara wakil rakyat paling lantang bersuara di Dewan Rakyat mendakwa kerajaan tidak banyak membantu kawasannya.

Tepukan meja sekali lagi diberikan oleh wakil rakyat kedua-dua negeri berkenaan apabila beliau mencadangkan supaya kerajaan meneruskan Skim Program Lonjakan Mega dengan peruntukan RM141 juta di Batang Sadung dan Batang Lupar, Sarawak dan Pulau Banggi, Sabah.
Kedengaran juga beberapa kali ungkapan "Ya...ya" daripada wakil rakyat termasuk apabila beliau menyebut: "Mahu tidak mahu kadar pemilikan komputer dan penembusan jalur lebar harus ditingkatkan. Barulah nanti masyarakat negara ini celik IT, setanding dengan rakyat di negara maju lain."

Ketawa kecil sekali lagi kedengaran ketika beliau mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar.

Semua wakil rakyat BN dan pembangkang dilihat turut menepuk meja apabila Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam bagi Gred 41 hingga Gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib kerajaan akan menerima bayaran khas RM500 pada Disember ini.
Pada akhir ucapannya, Najib mendapat tepukan paling bergemuruh daripada penyokong kerajaan apabila beliau sekali lagi bermadah mengenai kerajaan yang mementingkan rakyat dan ke arah menuju 1Malaysia.

"Sesungguhnya, inilah bajet yang menelesuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

"Bulatkan tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung Gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti nyata. 1Malaysia, kemakmuran bersama."

Sepanjang ucapannya Najib dilihat meneguk air yang disediakan sebanyak empat kali bagi menghilangkan haus seawal 30 minit ucapan bermula.

Sejurus selepas Najib selesai menyampaikan ucapannya tepat pukul 6.04 petang, Pandikar Amin mengumumkan sesi Dewan Rakyat ditangguhkan dan perbahasan rang undang-undang itu akan disambung pada Isnin ini

No comments: